18 September 2015

BAB 6
PENGURUSAN INOVASI DAN PERUBAHAN PENDIDIKAN INOVASI GURU
1.0              PENGENALAN
Kebelakangan  ini, slogan Wawasan 2020 seringkali dicanangkan di seluruh pelusuk negara sejak diutarakan oleh YAB Perdana Menteri kita, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad di Persidangan Pertama Majlis Perdagangan Malaysia di Kuala Lumpur pada tanggal 28 Februari, 1991. Sembilan cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 adalah sejajar dengan Dasar Pembangunan Negara yang terdapat di dalam Rancangan Jangka Panjang Kedua ( RRJP 2 ) - ( 1991 – 2000 ). Dalam bab ini membincangkan mengenai peranan pengurusan kreativiti dan inovasi pendidikan  inovasi guru ke arah pembinaan budaya dalam pelajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar.  Sebenarnya, usaha dalam pengurusan inovasi adalah bukannya satu usaha yang bermusim: sebaliknya merupakan usaha yang berterusan. Untuk kejayaan sebegini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai tanpa melalui laluan sukar dan panjang serta mencabar. Melalui pelbagai kraativiti dan inovasi yang meluas dan bebas sahaja yang dapat meningkatkan martabat pendidikan. Maka segala cabaran dan rintangan oleh guru akan dapat dihadapi tanpa meletakkan sebarang syarat yang boleh membelenggu daya fikiran, kreativiti dan inovasi kita daripada berkembang. Malaysia memerlukan warga negara yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran di bidang pelbagai bidang. Kebolehan mengguna dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi terkini memerlukan warga negara yang berpengetahuan dan mahir dalam bidang berkenaan. Sekurang-kurangnya matlamat mewujudkan ramai tenaga kerja yang berkemahiran dalam pelbagai mata pelajaran dan profesional (arkitek, jurutera dan lain-lain) pada tahun 2020 dapat dicapai. Namun, masih terdapat kelemahan-kelemahan dalam usaha untuk membudayakan pembelajaran melalui kreativiti dan inovasi dalam pendidikan terutamanya di kalangan pelajar-pelajar luar bandar.  Segala inovasi guru dalam kurikulum dan kokurikulum sistem pendidikan dan pembelajaran negara perlu memastikan kandungan ilmu mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Ramai berpendapat bahawa inovasi itu juga perlu melahirkan pelajar yang pada masa yang sama tetap utuh mempertahankan jati diri dan identiti bangsa Malaysia.
2.0       INOVASI DALAM KURIKULUM
Satu kenyataan yang dikeluarkan merumus bahawa kurikulum sejarah adalah mata pelajaran penting untuk membina jatidiri dan identiti berkenaan. Inovasi dalam mata pelajaran itu seharusnya lebih bersifat kontekstual yang tertumpu ke arah membentuk pemikiran kritis, kreatif dan kemahiran pemikiran sejarah yang selanjutnya dapat pula menanamkan minat pelajar untuk mempelajari subjek sejarah bermula di peringkat prasekolah. Mengenai usul kepemimpinan dan pentadbiran, seminar itu memutuskan pendidikan pelbagai budaya adalah strategi terbaik bagi mengendalikan kepelbagaian yang ujud dalam masyarakat majmuk yang boleh menimbulkan konflik dalam kepimpinan dan pentadbiran sistem pendidikan negara. Bagi menjamin kecemerlangan organisasi sekolah pula, dicadangkan elemen kemanusiaan (hubungan interpersonal, komunikasi, kerja berpasukan dan hubungan luar) dijadikan tunggak kepada kecemerlangan dalam kepimpinan sekolah. Berhubung ICT, peserta berpendapat para pendidik perlu memaksimumkan pengintegrasian ICT dalam penyusunan dan penginovasian pendidikan sejajar dengan kepesatan era teknologi bagi menghasilkan bahan pembelajaran yang berkesan dan meningkatkan pencapaian pelbagai jenis pelajar. Penyelaras ICT Sekolah perlu dilatih supaya mahir dalam aspek pengurusan makmal, penyenggaraan dan penyelenggaraan komputer, di samping Makmal ICT perlu diberikan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi melengkapkan segala kemudahan dan sumber.   
Warga pendidik perlu menjadikan Facebook sebagai salah satu wadah perbincangan yang seterusnya dapat memartabatkan ICT dan membudayakan e-pembelajaran sebagai satu daripada bentuk inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam usaha menggubal dasar ke arah berinovasi khususnya untuk menangani masalah sekularisme dan dualisme dalam falsafah ilmu yang diambil dari Barat terhadap pemikiran dan pendidikan masyarakat Islam, seminar merumuskan bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu menerapkan konsep kesepaduan atas paksi kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN) dan semua polisi yang dirangka ke arah inovasi pendidikan negara perlu memastikan graduan yang dihasilkan oleh IPT menjurus kepada pembangunan holistik pelajar, yang mempunyai kemahiran generik/insaniah cemerlang, agar graduan ini mampu memimpin dan bekerja dalam organisasi nasional dan global.  Sebarang keperluan dan kepentingan transformasi dan inovasi dalam pendidikan negara perlu menjurus ke arah penghayatan belajar seumur hidup, yang mampu menjadikan sistem pendidikan Malaysia beyond excellence, serta mewujud perimbangan antara akhlak dan moral, adab dan disiplin, akademik dan teknikal/vokasional, dan nisbah lelaki dan wanita. Bagi memenuhi keperluan milenium baru dan dunia tanpa sempadan, peserta memutuskan bahawa kurikulum yang kemas dan bersifat futuris perlu diwujudkan bagi sistem pendidikan negara. Satu mekanisme yang mampu menapis unsur-unsur yang negatif dan batil dari falsafah ilmu barat perlu diwujudkan supaya transformasi dan inovasi dalam pendidikan negara tidak mengancam kelangsungan agama rasmi, sistem nilai, kepercayaan dan budaya kita. Menyentuh isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) pula telah dirumuskan bahawa dalam usaha menangani isu sensitif dan kontroversi yang sering terjadi dalam operasi pengurusan SAR dan institusi-institusi pendidikan Islam yang lain, satu Model Penyelarasan Kerjasama (MPK) yang menghimpunkan semua kuasa eksekutif dalam satu kelompok yang mempunyai struktur organisasi tersendiri dan carta alir penurunan, pembahagian dan bidang kuasa masing-masing perlu dibentuk.
3.0       PERANAN GURU DALAM PENGURUSAN INOVASI
Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Proses pendidikan sentiasa sinonim dengan aktiviti perubahan. Teori behaviorism misalnya menekankan perubahan tingkah laku sebagai ukuran keberkesanan pencapaian objektif pembelajaran. Pendirian berkenaan juga disokong oleh sarjana perancangan kurikulum seperti Ornstien yang melihat reka bentuk kurikulum sebagai memenuhi keperluan perubahan.
Di Malaysia, dinamika perubahan dalam dunia pendidikan diberikan pelbagai nama seperti inovasi, reformasi dan transformasi. Hakikatnya, tanpa slogan yang muluk-muluk pun, pendidikan tetap tidak boleh lari daripada momentum perubahan. Namun, manusia memang tertarik dengan susunan kata yang indah seperti cogan kata dan tema tertentu. Syarat penting inovasi ialah sikap properubahan dan tidak terikat dengan status quo. Istilah zon selesa sebenarnya tidak wujud dalam kamus seorang guru inovatif. Segala ikhtiar intervensi ialah bukti betapa kaum guru sentiasa iltizam dengan ikrar keguruan untuk membawa anak bangsa ke mercu kecemerlangan. Bijak pandai mengatakan bahawa harapan ialah roda utama yang menyebabkan manusia terus bergerak. Guru sentiasa menyalakan harapan terhadap sebahagian murid yang berasa rendah diri justeru latar belekang sosioekonomi dan pengalaman hidup mereka yang tidak setara dengan rakan sebaya yang lebih bernasib baik. Dorongan dan kata-kata semangat oleh seorang guru inovatif yang peka terhadap potensi dan fakulti kanak-kanak umpama titisan air yang memulihkan daun-daun yang hampir layu.
Guru bukan lilin yang membakar diri, tetapi umpama matahari yang menyebarkan cahaya harapan dalam kehidupan insan. Kini, kaum guru telah menikmati pelbagai kemudahan dan ganjaran sebagai balasan kepada perkhidmatan yang diberikan. Walaupun agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kerjaya ikhtisas yang lain, kaum guru telah diberi penghargaan yang cukup tinggi. Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan negara, dengan idea dan kepakaran yang diterpakan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengaplikasi segala sumber ilmu melalui kaedah yang paling kreatif dan berinovasi.
Usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan boleh di pandang remeh. Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan jemu  bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah mereka yang berjaya dan tersohor di tengah-tengah masyarakat.
3.1       CIRI-CIRI GURU BERINOVASI
  • Berkualiti menempuh era globalisasi yang diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi.
  •  Mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
  • Fleksibel dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
  • Sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan. 
  • Sentiasa memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata.
  • Mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir.
  • Menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.
  • Sentiasa memikirkan cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata.

KONSEP INOVASI

  •  Inovasi adalah sesuatu yang baharu atau unik hasil ciptaan atau hasil proses penstrukturan semula yang memberi manfaat kepada masyarakat dan mempunyai nilai yang diutamakan.
  • Proses inovasi boleh berlaku secara radikal (mendadak) atau secara berperingkat-peringkat atau beransur-ansur sehingga terhasil perubahan kepada produk, proses atau perkhidmatan.
  • Inovasi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti :
-          Pengenalan teknologi baharu.
-          Perubahan dalam sistem penyampaian.
-          Perubahan dalam prosedur yang boleh meningkatkan produktiviti.