BAB 6
PENGURUSAN
INOVASI DAN PERUBAHAN PENDIDIKAN INOVASI GURU
1.0
PENGENALAN
Kebelakangan ini, slogan Wawasan 2020 seringkali
dicanangkan di seluruh pelusuk negara sejak diutarakan oleh YAB Perdana Menteri
kita, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad di Persidangan Pertama Majlis Perdagangan
Malaysia di Kuala Lumpur pada tanggal 28 Februari, 1991. Sembilan cabaran yang
terkandung dalam Wawasan 2020 adalah sejajar dengan Dasar Pembangunan Negara
yang terdapat di dalam Rancangan Jangka Panjang Kedua ( RRJP 2 ) - ( 1991 –
2000 ). Dalam bab ini membincangkan mengenai peranan pengurusan kreativiti dan
inovasi pendidikan inovasi guru ke arah
pembinaan budaya dalam pelajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar. Sebenarnya, usaha dalam pengurusan inovasi
adalah bukannya satu usaha yang bermusim: sebaliknya merupakan usaha yang
berterusan. Untuk kejayaan sebegini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai
tanpa melalui laluan sukar dan panjang serta mencabar. Melalui pelbagai
kraativiti dan inovasi yang meluas dan bebas sahaja yang dapat meningkatkan
martabat pendidikan. Maka segala cabaran dan rintangan oleh guru akan dapat
dihadapi tanpa meletakkan sebarang syarat yang boleh membelenggu daya fikiran,
kreativiti dan inovasi kita daripada berkembang. Malaysia memerlukan warga
negara yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran di bidang pelbagai bidang. Kebolehan
mengguna dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi terkini memerlukan
warga negara yang berpengetahuan dan mahir dalam bidang berkenaan.
Sekurang-kurangnya matlamat mewujudkan ramai tenaga kerja yang berkemahiran
dalam pelbagai mata pelajaran dan profesional (arkitek, jurutera dan lain-lain)
pada tahun 2020 dapat dicapai. Namun, masih terdapat kelemahan-kelemahan dalam
usaha untuk membudayakan pembelajaran melalui kreativiti dan inovasi dalam
pendidikan terutamanya di kalangan pelajar-pelajar luar bandar. Segala inovasi guru dalam kurikulum dan kokurikulum sistem
pendidikan dan pembelajaran negara perlu memastikan kandungan ilmu mampu
melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Ramai
berpendapat bahawa inovasi itu juga perlu melahirkan pelajar yang pada masa
yang sama tetap utuh mempertahankan jati diri dan identiti bangsa Malaysia.
2.0 INOVASI DALAM KURIKULUM
Satu kenyataan yang dikeluarkan merumus bahawa kurikulum
sejarah adalah mata pelajaran penting untuk membina jatidiri dan identiti
berkenaan. Inovasi dalam mata pelajaran itu seharusnya lebih bersifat
kontekstual yang tertumpu ke arah membentuk pemikiran kritis, kreatif dan
kemahiran pemikiran sejarah yang selanjutnya dapat pula menanamkan minat
pelajar untuk mempelajari subjek sejarah bermula di peringkat prasekolah.
Mengenai usul kepemimpinan dan pentadbiran, seminar itu memutuskan pendidikan
pelbagai budaya adalah strategi terbaik bagi mengendalikan kepelbagaian yang
ujud dalam masyarakat majmuk yang boleh menimbulkan konflik dalam kepimpinan
dan pentadbiran sistem pendidikan negara. Bagi menjamin kecemerlangan
organisasi sekolah pula, dicadangkan elemen kemanusiaan (hubungan
interpersonal, komunikasi, kerja berpasukan dan hubungan luar) dijadikan
tunggak kepada kecemerlangan dalam kepimpinan sekolah. Berhubung ICT, peserta
berpendapat para pendidik perlu memaksimumkan pengintegrasian ICT dalam
penyusunan dan penginovasian pendidikan sejajar dengan kepesatan era teknologi
bagi menghasilkan bahan pembelajaran yang berkesan dan meningkatkan pencapaian
pelbagai jenis pelajar. Penyelaras ICT Sekolah perlu dilatih supaya mahir dalam
aspek pengurusan makmal, penyenggaraan dan penyelenggaraan komputer, di samping
Makmal ICT perlu diberikan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi melengkapkan
segala kemudahan dan sumber.
Warga pendidik perlu menjadikan Facebook sebagai salah satu wadah
perbincangan yang seterusnya dapat memartabatkan ICT dan membudayakan
e-pembelajaran sebagai satu daripada bentuk inovasi dalam pengajaran dan
pembelajaran. Dalam usaha menggubal dasar ke arah berinovasi khususnya untuk
menangani masalah sekularisme dan dualisme dalam falsafah ilmu yang diambil
dari Barat terhadap pemikiran dan pendidikan masyarakat Islam, seminar
merumuskan bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu menerapkan konsep
kesepaduan atas paksi kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Pelan Strategik
Pengajian Tinggi Negara (PSTPN) dan semua polisi yang dirangka ke arah inovasi
pendidikan negara perlu memastikan graduan yang dihasilkan oleh IPT menjurus
kepada pembangunan holistik pelajar, yang mempunyai kemahiran generik/insaniah
cemerlang, agar graduan ini mampu memimpin dan bekerja dalam organisasi
nasional dan global. Sebarang keperluan
dan kepentingan transformasi dan inovasi dalam pendidikan negara perlu menjurus
ke arah penghayatan belajar seumur hidup, yang mampu menjadikan sistem
pendidikan Malaysia beyond excellence, serta mewujud perimbangan
antara akhlak dan moral, adab dan disiplin, akademik dan teknikal/vokasional,
dan nisbah lelaki dan wanita. Bagi memenuhi keperluan milenium baru dan dunia
tanpa sempadan, peserta memutuskan bahawa kurikulum yang kemas dan bersifat
futuris perlu diwujudkan bagi sistem pendidikan negara. Satu mekanisme yang mampu menapis unsur-unsur yang negatif dan batil dari
falsafah ilmu barat perlu diwujudkan supaya transformasi dan inovasi dalam
pendidikan negara tidak mengancam kelangsungan agama rasmi, sistem nilai,
kepercayaan dan budaya kita. Menyentuh isu
Sekolah Agama Rakyat (SAR) pula telah dirumuskan bahawa dalam usaha menangani
isu sensitif dan kontroversi yang sering terjadi dalam operasi pengurusan SAR
dan institusi-institusi pendidikan Islam yang lain, satu Model
Penyelarasan Kerjasama (MPK) yang menghimpunkan semua kuasa eksekutif dalam
satu kelompok yang mempunyai struktur organisasi tersendiri dan carta alir
penurunan, pembahagian dan bidang kuasa masing-masing perlu dibentuk.
3.0 PERANAN GURU DALAM PENGURUSAN INOVASI
Peranan guru sebagai tunjang utama dalam
memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak
dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf
bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan,
pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Proses
pendidikan sentiasa sinonim dengan aktiviti perubahan. Teori behaviorism
misalnya menekankan perubahan tingkah laku sebagai ukuran keberkesanan
pencapaian objektif pembelajaran. Pendirian berkenaan juga disokong oleh
sarjana perancangan kurikulum seperti Ornstien yang melihat reka bentuk
kurikulum sebagai memenuhi keperluan perubahan.
Di Malaysia, dinamika perubahan
dalam dunia pendidikan diberikan pelbagai nama seperti inovasi, reformasi dan
transformasi. Hakikatnya, tanpa slogan yang muluk-muluk pun, pendidikan tetap
tidak boleh lari daripada momentum perubahan. Namun, manusia memang tertarik
dengan susunan kata yang indah seperti cogan kata dan tema tertentu. Syarat
penting inovasi ialah sikap properubahan dan tidak terikat dengan status quo.
Istilah zon selesa sebenarnya tidak wujud dalam kamus seorang guru inovatif.
Segala ikhtiar intervensi ialah bukti betapa kaum guru sentiasa iltizam dengan
ikrar keguruan untuk membawa anak bangsa ke mercu kecemerlangan. Bijak pandai
mengatakan bahawa harapan ialah roda utama yang menyebabkan manusia terus
bergerak. Guru sentiasa menyalakan harapan terhadap sebahagian murid yang
berasa rendah diri justeru latar belekang sosioekonomi dan pengalaman hidup
mereka yang tidak setara dengan rakan sebaya yang lebih bernasib baik. Dorongan
dan kata-kata semangat oleh seorang guru inovatif yang peka terhadap potensi
dan fakulti kanak-kanak umpama titisan air yang memulihkan daun-daun yang
hampir layu.
Guru bukan lilin yang membakar
diri, tetapi umpama matahari yang menyebarkan cahaya harapan dalam kehidupan
insan. Kini, kaum guru telah menikmati pelbagai kemudahan dan ganjaran sebagai
balasan kepada perkhidmatan yang diberikan. Walaupun agak ketinggalan jika
dibandingkan dengan kerjaya ikhtisas yang lain, kaum guru telah diberi penghargaan
yang cukup tinggi. Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi
(perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau
kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan
minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk
menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan
negara, dengan idea dan kepakaran yang diterpakan sebagai proses pengajaran dan
pembelajaran dapat mengaplikasi segala sumber ilmu melalui kaedah yang paling
kreatif dan berinovasi.
Usaha
melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang
mudah dan boleh di pandang remeh. Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran
yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban
masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan
jemu bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada
agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru
berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan
yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya. Dengan berkat
kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah
mereka yang berjaya dan tersohor di tengah-tengah masyarakat.
3.1 CIRI-CIRI GURU BERINOVASI
- Berkualiti menempuh era globalisasi yang diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi.
- Mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
- Fleksibel dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
- Sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.
- Sentiasa memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata.
- Mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir.
- Menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.
- Sentiasa memikirkan cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata.